Wednesday, July 22, 2009

Subhanallah:Gerhana matahari paling lama!!

BANGKOK: Berjuta penduduk di seluruh Asia menyaksikan gerhana penuh matahari paling lama yang berlaku abad ini, ketika kawasan luas di India dan China, keseluruhan bandar Shanghai dan kepulauan di selatan Jepun akan terjerumus dalam kegelapan hari ini selama lebih enam minit.

Berduyun-duyun pencerap bintang amatur dan saintis membuat perjalanan jarak jauh bagi menyaksikan kejadian sekali seumur hidup itu.

Pakar kaji bintang berharap gerhana itu akan merungkai maklumat mengenai bintang sementara seorang pakar astrologi di Myanmar meramalkan ia mungkin menyebabkan huru hara. Sesetengah penduduk di India menasihatkan saudara mara yang hamil duduk di dalam rumah supaya mengikuti tradisi sekurun lamanya mengelak terik matahari yang jelas.

Gerhana itu akan muncul buat pertama kali ketika fajar di Teluk Khambhat, India di utara Mumbai.

Ia akan bergerak ke timur merentasi India, Nepal, Myanmar, Bangladesh, Bhutan dan China sebelum melalui Pasifik. Gerhana itu akan melalui beberapa pulau selatan Jepun dan kali terakhir dapat dilihat dari darat di Pulau Nikumaroro di negara Pasifik Selatan di Kiribati. Di tempat lain, gerhana separa akan dapat dilihat kebanyakannya di Asia.

Bagi pakar kaji bintang, ia akan menjadi peluang pemerhatian lama korona matahari, lingkaran putih sejauh sejuta kilometer dari permukaan matahari. Gerhana penuh sebelumnya pada Ogos 2008, dapat dilihat selama dua minit dan 27 saat. Kali ini ia dapat dilihat secara maksimum selama enam minit dan 39 saat.

Saintis solar Lucie Green berada di atas kapal persiaran Amerika menghala ke tapak itu berhampiran pulau Jepun di Iwo Jima, di mana paksi bayang-bayang bulan akan berada hampir dengan bumi.

Penumpang membayar AS$2,599 sehingga AS$3,643 (RM9,212.16 hingga RM12,912.61) untuk menaiki kapal persiaran dikendalikan Mayhugh Travel Inc, syarikat California yang mengkhusus dalam penjelajahan astronomi, menurut laman web syarikat.

"Korona mempunyai suhu dua juta darjah selsius namun kami tidak tahu mengapa ia sangat panas," kata Green dari Kolej Universiti London. "Apa yang kami sedang teliti ialah gelombang dalam korona... Gelombang itu mungkin mengeluarkan tenaga yang memanaskan korona. Ia bermaksud kami memahami sebahagian sains dalam matahari."

Saintis berharap data daripada gerhana itu akan membantu menjelaskan nyalaan solar dan struktur lain dalam matahari dan mengapa ia meletus, kata Alphonse C Sterling, seorang pakar astrofizik Nasa yang akan mengikuti gerhana itu di China.

"Kita perlu menunggu beberapa ratus tahun lagi untuk mendapat peluang seperti ini bagi memantau gerhana matahari yang terjadi dalam tempoh lama, justeru ia adalah satu peluang yang amat istimewa," kata Shao Zhenyi, seorang pakar astronomi di Shanghai Astronomical Observatory.

Rakyat Malaysia boleh melihat gerhana matahari penuh itu hari ini dengan melayari laman web yang membuat siaran langsung secara webcasting seperti www.exploratorium.edu/eclipse/2009/index.html, www.saros.org/index.html, www.live-eclipse.org dan www.eclipse-tv.com.

Gerhana matahari separa yang sukar dilihat dengan mata kasar, akan berlangsung selama lebih sejam iaitu bermula 8.23 pagi dan berakhir pada 9.48 pagi.

Sebahagian wilayah dari India sehingga Shanghai, China dan Jepun akan bergelap hampir enam minit, berikutan fenomena gerhana matahari penuh yang berlaku pagi ini, yang dianggap gerhana paling lama bagi abad ke-21. Bagaimanapun, Malaysia yang pernah mengalami gerhana matahari penuh di Kudat Sabah pada November 1995, dan beberapa negara lain di Asia, sebaliknya hanya mengalami gerhana matahari separa.

Menurut Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia, Terengganu, melalui laman webnya, www.falak.udm.edu.my, penduduk negara ini hanya berpeluang menyaksikan gerhana itu dalam fasa separa dalam peratus maksimum yang kecil antara tiga peratus hingga 18 peratus saja.

Gerhana matahari separa berlaku selepas waktu Subuh, namun ia semakin jelas dari jam 8.24 pagi sehingga 9.56 pagi ini. Gerhana matahari terjadi apabila bulan yang sedang mengelilingi bumi lalu bersetentangan dengan bumi dan matahari.

Bayangnya yang terkena pada permukaan bumi membentuk gerhana. Fenomena ini sebenarnya jarang berlaku dengan kemungkinan hanya sekali atau dua kali dalam setahun kalendar. Kali terakhir negara mengalami gerhana matahari ialah pada 26 Januari lalu.

Gerhana matahari terbahagi kepada empat jenis, iaitu gerhana penuh, gerhana annulus (cincin), gerhana hibrid (penuh dan cincin) dan gerhana separa (sebahagian). Gerhana separa merujuk peringkat awal atau akhir suatu gerhana matahari, atau bahagian bumi yang masih dapat melihat gerhana, tetapi tidak akan dapat melihat gerhana matahari fasa penuh atau cincin.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui khutbah online menyatakan masyarakat Islam perlu melihat fenomena ini secara positif sebagai memperlihatkan kekuasaan Allah yang memperlihatkan matahari yang bercahaya secara tiba-tiba menjadi gelap, kemudian bercahaya semula.

Kehebatan kekuasaan Allah mampu mengubah segala-galanya di langit dan bumi pada bila-bila masa dan tidak ada satu kuasa lain yang dapat menyekat qada dan qadar-Nya.

Allah berfirman dalam al-Quran menjelaskan bahawa perubahan yang berlaku terhadap matahari dan bulan itu adalah di bawah tadbir-Nya. Oleh itu sujudlah kepada Allah yang mengawal selia dan menyelenggara terbit dan terbenam matahari serta bulan.

Firman-Nya yang bermaksud: "Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari, tidak juga bulan dan sujudlah kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah." – (Surah al-Fussilat, ayat 37)

Catatan sejarah Islam memperlihatkan gerhana matahari berlaku pada 10 Rabiulawal tahun kelapan Hijrah. Kebetulan gerhana matahari itu berlaku sewaktu kematian putera Baginda SAW, iaitu Ibrahim ketika usianya baru 70 hari.

Maka Rasulullah SAW pun bersabda yang bermaksud: "Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah. Allah menakutkan hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang daripada kalangan manusia. Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu." – (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abi Mas'ud al-Ansari)

Sesungguhnya berlakunya gerhana matahari atau bulan memang menjadi tanda kebesaran Allah dan supaya manusia bersyukur terhadap-Nya tanpa mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun.

Imam an-Nasaie meriwayatkan, Saidatina Aishah berkata: "Dan sesungguhnya sudah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan orang ramai sambil memuji Allah dan sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang.

Sumber:http://www.bharian.com.my/

No comments:

Labels

Adam (7) Alaf21 (2) Award (10) Beble (43) Ben Ashaari (6) Blog (20) blurr (13) Bola (1) borang (2) Buffered Earning (2) Cikgu (16) Cinta (13) Class (11) Comel (5) Contest (37) Dakwah (15) Entertainment (9) Exercises (23) Fakta (28) Famili (15) Follower (4) Food (1) Form1 (8) Form2 (11) Form3 (11) Form5 (18) Formulae (23) Friends (13) Funny (15) Gempak (6) Giveaway (44) Guru (11) Hawa (12) Hlovate (3) Iklan (10) induksi (2) interview (2) Jemari Seni (2) Jiwa Kacau (37) Jurulatih Utama (3) Kereta (5) Kertas 1 (4) Kiwi (38) Koleksi Soalan SPM Matematik (12) Koleksi Soalan Ulangan SPM (11) Komik (2) Kucing (8) Latihan (8) Link (4) Lyrics (3) Matematik (4) Mathematics (38) Motivasi (21) Movie (1) Notes (27) Novel (4) Nuffnang (7) Panas (12) Past Year Questions (19) PBS (10) Petua (2) PT3 (4) Puisi Kreatif (13) RAM (1) rpt (9) Segmen (16) Sekolah (44) Senarai semak (5) senarai semak pbs (6) SPM (19) SPM Math Form 5 (12) SPMU (11) spp (1) Story (26) Student (34) Surat (5) Tagged (18) Tazkirah (30) Tips (51) Tutorial (19) Wordless Wednesday (4)