Wednesday, January 7, 2009

Itqan: Tabiat 6 Pilih sikap yang betul


Perubahan masa menyebabkan kita berubah. Jika demikian kita dikatakan mengikut perubahan masa. Perubahan seharusnya memberi kebaikan seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah saw dalam hadis berikut yang diriwayatkan oleh Al Dailami,

“Seseorang yang mempunyai dua hari yang tidak berbeza (dari segi pencapaian) pasti menemui kegagalan.”

Membuat perubahan sering menjadi masalah kerana banyak perkara yang perlu dilakukan. Masalah yang paling besar ialah takut kepada perubahan kerana belum mengetahui apa yang bakal berlaku. Islam dapat mengatasi rasa takut ini dengan memberi semangat dan rangsangan untuk berusaha membuat lebih baik.

Kenapa sesetengah daripada kita berasa hairan apabila melihat individu, organisasi atau negara lebih berjaya daripada yang lain sedangkan persekitaran mereka adalah sama? Walaupun di luar sama tetapi apa yang terkandung di dalam diri berbeza-beza. Perkara yang terdapat di dalam diri membuatkan kita maju adalah sikap kita.

Terdapat seorang lelaki yang menjual belon di karnival kanak-kanak. Dia mempunyai belon yang berwarna merah, kuning, biru dan hijau. Apabila jualannya lembap, dia akan melepaskan belon berisi helium ke udara dan apabila kanak-kanak melihat ia naik tinggi, mereka ingin memilikinya. Mereka datang kepada lelaki itu membeli belon dan perniagaannya maju semula. Dia mengulangi keadaan itu setiap hari.S

uatu hari dia terasa ada seseorang menarik hujung jaketnya. Dia menoleh dan ternampak seorang budak lelaki yang bertanya, “Kalau awak melepaskan belon berwarna hitam, bolehkah ia terbang juga?” Lelaki itu menjawab, “Nak, bukan kerana warna belon tersebut tetapi apa yang terkandung di dalamnya yang membuatkan ia naik ke atas.”

Sikap dan kejayaan sentiasa bergerak selari. Sikap yang positif menentukan kejayaan manakala sikap yang negatif memberi laluan kepada kegagalan.Di Malaysia, kita mendengar kisah jutawan internet yang masih muda iaitu Irfan Khairi, 28 tahun. Beliau bekerja dari rumah dan memperolehi pendapatan RM1 juta. Beliau adalah pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Multimedia dari Universiti Staffordshire, United Kingdom, mula memegang status jutawan muda sejak berumur 25 tahun.

Irfan Khairi mempunyai sikap yang positif terhadap kekayaan dan usaha-usaha ke arah itu. “Saya bukan bergelar jutawan dalam sekelip mata tetapi terpaksa berusaha selama tujuh bulan untuk menjadi jutawan,” ujar anak muda ini ketika mendedahkan rahsia. Impiannya jelas iaitu duduk sebaris dengan tokoh-tokoh jutawan internet yang lain.

Sikap dan perilaku sangat selari dengan kejayaannya. Semasa berumur 18 tahun, beliau menetapkan matlamat hendak menjadi jutawan sebelum berumur 30 tahun. “Saya menulis matlamat hendak menjadi jutawan di atas kertas yang disimpan di dalam dompet. Saya baca apa yang saya tulis itu setiap hari.”

Keinginan hendak menjadi kaya lahir daripada dalam dirinya sendiri dan diperkuatkan lagi dengan keazaman dan kemahuan yang kuat. “Saya percaya apa yang dibaca dengan berulang-ulang, akhirnya akan menjadi kenyataan.” Irfan Khairi percaya pada apa yang ditulis dan beliau membuktikannya.

Sikap yang mantap dan berterusan bermula dengan perubahan cara berfikir. Ianya bermula dengan menyiapkan pemikiran ... jika kita fikir boleh melakukan sesuatu, kita akan mulakan langkah merancang dan bergerak ke arah tersebut. Barulah kita boleh lihat sama ada kita betul-betul mahu atau tidak.

Pakar motivasi di Malaysia, Dr. Mohd Fadzilah Kamsah pernah bercerita mengenai ais batu yang menyebabkan tangan seorang peserta seminarnya rasa seperti melecur. Ketika memilih peserta berkenaan, dia meminta peserta itu memejamkan mata sambil meminta izin hendak memanaskan hujung jari supaya rasa sedikit panas. Ketika asyik memejamkan mata, Dr. Fadzilah meletakkan seketul ais batu di atas tapak tangan pesertanya.

Kekuatan mental dan kepercayaan bahawa tangannya semakin panas, tapak tangan peserta tadi hampir kelepuhan. Di fikirannya ialah apa yang dia fikirkan ialah api panas sedang merayap di atas tapak tangannya. Apabila dilihat sendiri, barulah dia percaya tangannya melecur.

Minda adalah benteng terakhir perubahan sikap dan tindakan. Roger Barrister membuktikan dia boleh berlari satu batu dalam masa kurang daripada empat minit. Jarak satu batu dapat ditamatkan dalam masa 3 minit 59 saat setelah beliau yakin dirinya boleh melakukan sesuatu yang difikirkan mustahil oleh orang ramai sebelum itu.

Pakar motivasi Amerika Syarikat, Anthony Robbins yang terkenal dengan kata-kata berapi, “The mother of skills is repetation,” maksudnya ialah punca kepada segala kemahiran adalah ulangan. Anthony Robbins terkenal kerana keupayaannya memberi motivasi kepada ramai orang di seluruh dunia khususnya di Amerika Syarikat, Kanada dan Britain.

Jujur kepada tindakan dan usaha juga merupakan sikap yang amat bermakna. Kejujuran memberikan kekuatan biarpun memberi kesusahan kepada diri sendiri. Kisah seorang kanak-kanak yang terpilih menjadi pengganti maharaja ini boleh membuatkan kita berfikir betapa pentingnya kejujuran.

Seorang maharaja di negara sebelah Timur semakin meningkat umur dan sudah sampai masanya untuk memilih pengganti yang layak bagi memerintah kerajaannya. Baginda membuat keputusan untuk membuka pencalonan kepada rakyatnya di seluruh negara dan tidak mempedulikan penolong atau anak-anaknya sendiri. Maharaja ini mahu melakukan sesuatu yang berbeza!

Pada suatu hari, baginda memanggil anak-anak muda yang pintar, cerdas dan terpilih datang ke taman istana kerana mahu melihat bakal-bakal pewaris takhta. Katanya,“Sudah sampai masanya beta turun dari takhta dan memilih maharaja yang baru. Beta telah merancang untuk memilih salah seorang daripada kamu yang ada di sini, wahai anak-anak muda.”

Kanak-kanak ini terkejut!

Tetapi maharaja meneruskan titahnya.

“Beta akan memberi anak benih kepada kamu semua pada hari ini ... sangat istimewa. Beta mahu kamu menanam biji benih ini, siram dengan air dan jaga betul-betul. Setahun dari sekarang, kamu datang semula ke sini. Beta akan memilih tanaman yang kamu bawa dan beta juga akan memilih salah seorang daripada kamu untuk menjadi maharaja.”

Seorang kanak-kanak yang bernama Ling sangat seronok menerima bijih daripada maharaja dan pulang ke rumah lalu menceritakan kepada ibunya apa yang harus dilakukan.

Ibu menyediakan pasu bunga dan mencari tanah yang sesuai untuk mempastikan biji benih ini dapat tumbuh dengan baik.

Setiap hari Ling akan menyiram pasu bunga dan hatinya sentiasa teruja untuk melihat biji benih tadi tumbuh.

Tiga minggu telah berlalu, kawan-kawannya yang lain mula bercakap mengenai biji benih masing-masing yang mula tumbuh. Ling sentiasa memeriksa biji benihnya tetapi tidak ada tanda-tanda hendak membesar atau mengeluarkan tunas.

Tiga minggu, empat minggu, lima minggu telah berlalu tetapi tidak ada apa-apa.

Sehingga sekarang, rakan-rakannya yang lain bercakap tentang pokok masing-masing yang telah membesar, merimbun dan sangat cantik tetapi Ling telah menyalahkan dirinya kerana membunuh biji benih maharaja. Dia menyesal.

Enam bulan berlalu, Ling masih terkial-kial dan berasa malu dengan rakan-rakan setiap kali ditanya apa yang berlaku pada pokoknya. Ling diam sahaja tetapi terus berharap ada pokok yang akan tumbuh nanti.

Sampai genap setahun, anak-anak muda yang diberi tugasan oleh maharaja perlu kembali mengadap baginda untuk mempersembahkan hasil masing-masing. Ling memberitahu ibunya yang dia keberatan untuk pergi kerana pasu bunganya kosong, biji benih tak mahu hidup!

Seorang ibu yang baik menasihati anaknya. “Pergilah, awak mesti jujur dan beritahu apa yang telah berlaku”. Ling tahu ibunya betul lalu dia mengambil pasu bunga dan beredar ke istana maharaja.

Apabila Ling sampai ke taman istana, dia terkejut kerana melihat pelbagai jenis pokok yang berwarna-warni. Cantik dan menarik. Ling meletakkan pasu bunganya yang kosong.

Kah! Kah! Kah! Semua rakannya ketawa. Mana pokoknya?

Ling menundukkan kepala dan mulai risau apabila maharaja berangkat untuk melihat hasil bakal maharaja, pemegang amanah negara. Dia memilih untuk berada di belakang rakan-rakannya yang lain kerana takut maharaja murka.

Apabila berada di hadapan pokok bakal maharaja, baginda terkejut. “Pokok apa yang telah kamu tanam ni, macam-macam jenis. Tapi tak mengapa. Hari ini beta akan memilih bakal pengganti beta.”

Semua pasu bunga bakal maharaja ada pokok masing-masing kecuali Ling. Dari celah-celah rakan-rakannya, Ling dipanggil ke hadapan oleh Maharaja.

Hati Ling semakin bergetar. “Mahu aku dibunuhnya kerana aku telah gagal!”

“Siapa nama kamu?” tanya Maharaja.

“Ling.” Ketika ini rakan-rakannya mula ketawa. Lucu.

Maharaja mula merah mukanya dan meminta semua sekali diam. Bukan masanya untuk berjenaka dan bergelak ketawa.

Baginda melihat ke arah Ling dan membuat pengumuman kepada yang hadir.“Inilah maharaja yang baru, namanya Ling!”

Ling tidak percaya. Macam mana dia boleh menjadi maharaja? Biji benihnya tak pernah tumbuh?

Maharaja seorang yang bijak. “Setahun yang lalu, beta telah memberi setiap orang bakal pengganti beta sebiji benih. Beta menyuruh kamu menjaga biji benih ini dengan baik, menyiramnya dan bawa balik kepada beta pada hari ini. Tetapi tahukah kamu apa jenis biji benih tersebut? Ia telah dimasak dengan air panas dan tidak akan tumbuh. Apabila kamu dapati biji benih ini tidak tumbuh, kamu gantikan dengan yang lain. Jadi, pada hari ini hanya Ling seorang yang berani membawa pasu bunga kosong kepada beta. Oleh itu, beta memilih Ling sebagai maharaja baru!”

No comments:

Labels

Adam (7) Alaf21 (2) Award (10) Beble (43) Ben Ashaari (6) Blog (20) blurr (13) Bola (1) borang (2) Buffered Earning (2) Cikgu (16) Cinta (13) Class (11) Comel (5) Contest (37) Dakwah (15) Entertainment (9) Exercises (23) Fakta (28) Famili (15) Follower (4) Food (1) Form1 (8) Form2 (11) Form3 (11) Form5 (18) Formulae (23) Friends (13) Funny (15) Gempak (6) Giveaway (44) Guru (11) Hawa (12) Hlovate (3) Iklan (10) induksi (2) interview (2) Jemari Seni (2) Jiwa Kacau (37) Jurulatih Utama (3) Kereta (5) Kertas 1 (4) Kiwi (38) Koleksi Soalan SPM Matematik (12) Koleksi Soalan Ulangan SPM (11) Komik (2) Kucing (8) Latihan (8) Link (4) Lyrics (3) Matematik (4) Mathematics (38) Motivasi (21) Movie (1) Notes (27) Novel (4) Nuffnang (7) Panas (12) Past Year Questions (19) PBS (10) Petua (2) PT3 (4) Puisi Kreatif (13) RAM (1) rpt (9) Segmen (16) Sekolah (44) Senarai semak (5) senarai semak pbs (6) SPM (19) SPM Math Form 5 (12) SPMU (11) spp (1) Story (26) Student (34) Surat (5) Tagged (18) Tazkirah (30) Tips (51) Tutorial (19) Wordless Wednesday (4)